-: Jul 12, 2018 / Ustshahli Ustshahli

SAKA, SIHIR & GANGGUAN JIN LAIN

SAKA

 

Saka adalah jin keturunan yang diwarisi daripada orang yang mula-mula membuat perjanjian melalui bomoh, dukun atau pawang untuk memelihara jin sehingga tujuh (7)  keturunan atau generasi.

 

Tujuan asal mereka memelihara jin saka ialah untuk membantu dan melindungi berbagai perkara seperti berikut:

  • Membantu dalam usaha meneroka hutan, berladang, bertani, menjaga kebun, rumah dan sebagainya
  • Untuk kelihatan kacak dan menarik, kelihatan cantik dan memikat dan sebagainya
  • Untuk kelihatan supaya sentiasa digeruni dan dihormati
  • Untuk jadi kuat bertenaga sepanjang masa.
  • Dan berbagai kegunaan lagi…

Selepas meninggal dunia keturunan atau generasi pertama secara otomatik mengikut perjanjian dahulu, jin saka akan berpindah kepada tuan baru yang dipilih daripada kalangan keturunan atau generasi kedua. Begitu juga selepas kematian generasi kedua jin saka akan berpindah pula kepada generasi ketiga dan seterusnya sehinggalah kepada generasi yang ketujuh.

Masalah yang wujud ialah keturunan atau generasi berikutnya samada bersetuju ataupun tidak pemindahan jin saka akan tetap berlaku. Oleh kerana keturunan atau generasi yang seterusnya sehinggalah kepada generasi ketujuh tidak tahu atau tidak ada ilmu bagaimana cara dan kaedah memelihara jin saka dalam bentuk makan minum atau pemujaan dan sebagainya, maka terjadilah masalah gangguan jin saka pada generasi yang menerima pemindahan jin saka tersebut.

Walaupun jin saka mematuhi perjanjiannya sehingga keturunan atau generasi ketujuh sahaja tetapi sebenarnya kelahiran generasi kelapan juga kemungkinan akan menerima kesan daripada jin saka tersebut seperti berlakunya kecacatan fizikal atau mental, down sindrom, lembab, berpenyakit dan berbagai lagi.

Rawatan untuk penyakit gangguan Jin saka bergantung kepada individu tersebut. Sekiranya pesakit menyedari bahawa dirinya masih baru menerima pemindahan saka tersebut daripada generasi sebelumnya, maka rawatan untuk memulihkan atau menghilangkan saka daripada dirinya agak mudah. Tetapi sekiranya dirinya telah lama menerima pemindahan saka tersebut dan proses rawatan untuk menghilangkan atau membuang saka tersebut agak sukar dan memerlukan rawatan yang berulang kali.

Kepada pesakit gangguan saka janganlah bimbang atau berputus asa. Yakinlah bahawa Allah swt. menurunkan Al-Quran sebenarnya adalah penawar yang paling ampuh untuk merawat dan sebagai ikhtiar mencari kesembuhan. Haruslah diingatkan bahawa dalam mencari kesembuhan, carilah kesembuhan yang patuh syariah dan mendapat redha dari Allah swt.

Yakinlah bahawa Al-Quran itu adalah Mukjizat Nabi Muhammad saw. dan merupakan Mukjizat penyembuhan yang berupa wahyu dari Allah swt. yang maha Agung. Sesungguhnya Dialah zat yang maha menyembuhkan…

 

SIHIR

Sihir adalah sesuatu simpulan atau jampi yang disebut atau diucapkan oleh penyihir atau satu pengamalan yang membawa kesan kepada tubuh, hati atau akal mangsa sihir dengan tidak perlu berhadapan secara langsung dengannya.

Kemudharatan dan pengharaman amalan sihir ini amatlah jelas dalam Islam dan dalam kategori melakukan dosa-dosa besar disisi Allah swt.

 

JENIS-JENIS SIHIR :

  1. Sihir kerana dendam, irihati atau merasa cemburu – Sihir ini akan menjadikan mangsanya merasa gelisah, ketakutan, hidup yang tertekan atau stress dan setiasa kemurungan. Mangsa juga ada yang menjadi dungu, bodoh atau menjadi gila. Selain itu sihir ini juga boleh menyebabkan penyakit-penyakit kronik & misteri.
  2. Sihir santau – kerana ingin memperdaya, meracun atau membunuh.
  3. Sihir pukau – kerana ingin mencuri, merompak, merogol atau sebagai pelaris dll.
  4. Sihir guna-guna – kerana ingin menghalang percintaan, pernikahan dan menghalang zuriat.
  5. Sihir tafriq – kerana ingin memisahkan suami isteri atau menghancurkan rumahtangga.
  6. Sihir pandangan – silap mata yang amat menghairankan atau mengerikan dll.

Kepada pesakit Sihir walau jenis sihir apa sekalipun janganlah bimbang atau runsing, yakinlah bahawa Allah swt. menurunkan Al-Quran sebenarnya adalah penawar yang paling ampuh untuk merawat dan sebagai ikhtiar mencari kesembuhan. Yakinlah bahawa Al-Quran adalah Mukjizat Nabi Muhammad saw. dan merupakan Mukjizat penyembuhan yang berupa wahyu dari Allah swt. yang maha Agung. Sesungguhnya Dialah zat yang maha menyembuhkan..

 

GANGGUAN-GANGGUAN JIN YANG LAIN : 

HISTERIA – Kawasan jin terganggu. Sebagai contoh pelajar-pelajar asrama bermain sambil mematahkan ranting pokok besar di belakang blok asrama. Pelajar yang terkena gangguan histeria ini akan mudah berjangkit kepada pelajar-pelajar yang lain terutama yang lemah semangat dan ketakutan. Biasanya gangguan histeria terjadi dalam jumlah yang melebihi seorang atau ramai pelajar.

 

SAMPUK – Kawasan jin terganggu atau jin menyukai seseorang atau jin telah jatuh cinta. contohnya seseorang yang berjalan berseorangan di kawasan pantai, kubur, di kawasan sampah atau pokok-pokok besar dalam belukar pada waktu hampir senja. Tiba-tiba malam itu ia kerasukan, menjerit, bercakap sendirian dan lain-lain.

 

  

                                                                                                                                        PENYAKIT AIN’ –  Penyakit Ain; adalah sebahagian daripada gangguan jin dalam kategori sihir. Ia merupakan suatu penyakit yang lahir daripada campurtangan jin apabila seseorang memandang kepada seseorang dengan jelingan atau renungan mata yang tajam dengan disertakan hati yang tersangat marah kepada orang tersebut. Dalam situasi begini ada kemungkinan makhluk jin merasakan seolah-olah mendapat lampu hijau atau keizinan untuk mengganggu mangsa yang dimarahi dengan jelingan atau renungan tajam tersebut.

Penyakit Ain’ juga boleh terjadi kepada jelingan atau renungan mata yang tajam kerana terlalu teruja atau terlalu mengkagumi seseorang terutamanya kanak-kanak. Biasanya penyakit Ain’ terjadi apabila terlalu teruja sehingga sebak hati atau terasa di hati sambil melontarkan jelingan atau renungan mata yang tajam kepada orang atau kanak-kanak tersebut.

Adalah disarankan kepada ibubapa dan sesiapa sahaja supaya menyebut nama Allah swt. seperti, Masya Allah, SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahu Akbar dan seumpamanya apabila teruja atau kagum sambil merenung atau jelingan kepada seseorang terutama kepada kanak-kanak. Wallahu Aklam.

Posted in: Masalah Saka & Sihir